Tuesday, September 20, 2011

Dibunuh Kekasih Pengkid Kerana Cemburu

[BHARIAN]SUNGAI PETANI: Seorang gadis berusia 29 tahun ditemui mati di sebuah rumah di Taman Semarak, dekat sini, petang semalam dipercayai ditikam kekasihnya yang juga pengkid berusia 25 tahun yang kemudian bertindak mencederakan dirinya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mayat mangsa yang berasal dari Yan Besar ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumah sewa mereka.

Kekasih mangsa, pengkid keturunan Siam mencederakan dirinya dengan senjata ditemui di depan rumah jiran dalam keadaan separuh sedar.
Pengkid terbabit menikam kekasihnya yang juga pekerja kilang di Bakar Arang, akibat cemburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata mangsa dipercayai tinggal bersama di rumah itu sejak 2007 dan polis tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Katanya, mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu oleh orang ramai sebelum menghubungi polis, manakala pengkid terbabit ditemui di rumah jiran dipercayai untuk meminta bantuan.

“Siasatan polis mendapati ada dua kesan tikaman menggunakan pisau di perut mangsa dan senjata yang dipercayai digunakan turut ditemui di ruang tamu rumah terbabit. Polis masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar,” katanya di sini, semalam. 
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 





Monday, September 19, 2011

Gempar! Kapal Korea Utara Ditahan Pasang Jalur Gemilang Terbalik


[KOSMO] JOHOR BAHRU - Sebuah kapal dagang asing yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik ditahan sebelum didapati melakukan kesalahan lain iaitu melepaskan sauh tanpa kebenaran ditahan di perairan Tanjung Piai, Pontian dekat sini kelmarin.
Kedudukan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di atas kapal MV Yong An dari Korea Utara itu menarik perhatian pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan untuk menyiasat.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, curiga dengan apa yang berlaku, anggota APMM yang membuat rondaan rutin di perairan berkenaan terus menaiki kapal tersebut kira-kira pukul 1 petang kelmarin.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut gagal memaklumkan ketibaan mereka dalam perairan Malaysia dan dengan sengaja menaikkan bendera Malaysia secara terbalik.

Budak Mati Dihempap Tiang Gol,Tempurung Retak


[HMETRO] KLANG: “Arwah sebelum ini minta dibelikan kasut bola baru, saya terkilan tak sempat memenuhi hasratnya,” kata Abdul Rahman Sarbaini, 41.
Anaknya, Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, maut selepas cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Abdul Rahman berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jiran memberitahu anaknya kemalangan ketika bermain bola sepak di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di Kuarters Guru Kampung Jawa.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar dari kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.

“Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk mendapatkan rawatan namun dia gagal diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, kecuali meminta sepasang kasut bola baru daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya bersabar.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata, beliau masih belum menerima laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara.

“Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian, namun jika sudah menerima laporan, siasatan akan segera dilakukan,” katanya.

Teman Lelaki Bangla Ugut Sebar Gambar Lucahnya Jika Putuskan Hubungan



[HMETRO] JOHOR BAHRU: Terjerat dengan cinta ‘Bollywood’ seorang gadis berusia 23 tahun tertekan selepas teman lelaki warga Bangladesh mengugut menyebarkan gambar lucahnya sejurus mangsa menyatakan hasrat memutuskan hubungan cinta terjalin beberapa bulan lalu.

Mangsa mendakwa bekas teman lelakinya yang berusia 40-an dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga anak berang mengugut menyebarkan gambar lucahnya di Internet.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai juruwang di sebuah syarikat kiriman wang ke luar negara turut menuntut mangsa memulangkan RM25,000 dibelanjakan ketika mereka bercinta sebagai syarat memutuskan hubungan.

Mangsa mendakwa diugut awal bulan lalu selepas menghubungi suspek dan menyatakan hasratnya memutuskan hubungan. Bagaimanapun, suspek yang berang menghubunginya dan mengugut menyebarkan gambar lucah wanita berkenaan.

Pada mulanya, mangsa menyangka ia hanya gurauan, namun terkejut melihat beberapa gambar lucahnya dikirim lelaki Bangladesh itu menggunakan e-mel, selain menerusi Kiriman Pesanan Multimedia (MMS).

Gambar lucah itu dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit suspek ketika menginap di sebuah hotel di Seremban beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan gadis berkenaan Rabu lalu.

Sunday, September 18, 2011

Perancis larang umat Islam solat atas jalan



[BHARIAN] PARIS: Perancis melarang umat Islam daripada mengerjakan solat di kawasan jalan berkuat kuasa kelmarin ketika dua tempat ibadat baru dibuka bagi menampung masalah kesesakan jemaah di Paris dan Marseille. 

Menteri Dalam Negeri, Claude Gueant berkata, pihak berkuasa tidak lagi membenarkan jemaah bersolat di tepi jalan bermula kelmarin September.

Jika masih ada lagi terus bersolat, kami akan menghentikannya, katanya.
Larangan itu berkuatkuasa serentak dengan pembukaan sebuah tempat masjid baru bagi umat Islam di utara Paris, di mana beratus-ratus orang dilaporkan terpaksa bersolat di jalan pada setiap Jumaat berikutan ruang yang terhad di dua masjid kecil berkenaan. 

Pemimpin kedua-dua masjid di daerah Goutte dOr itu bersetuju dengan pihak berkuasa Paris untuk menyewa dua berek yang terbiar selama tiga tahun. 

Masjid berkenaan akan tetap ditutup selama dua minggu bagi menggalakkan jemaah berpindah ke tempat baru, yang mampu untuk menampung lebih 2,700 orang, kata pihak berkuasa bandaraya terbabit. 

Pihak berkuasa di bandaraya kedua terbesar, Marseille di mana masjid turut mengalami masalah kebanjiran jemaah berkata bahawa mereka juga sudah menemui sebuah tempat yang lebih besar di mana jemaah boleh bersolat tanpa perlu bersesak hingga di kawasan jalan. 
Masalah bersolat di kawasan jalanan menjadi agenda tahun lalu oleh sayap kanan National Front di mana ia disifatkan sebagai fenomena sejak berdekad lamanya yang membuktikan mengenai dakwaan mereka bahawa Islam mengancam nilai-nilai sekular Perancis. 

Pemimpin National Front, Marine le Pen secara kontroversi pernah membandingkan masalah bersolat di jalanan dengan pendudukan Nazi Jerman di Paris manakala kumpulan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di jalanan membantah masalah itu di Goutte dOr. 

Kerajaan bersetuju bahawa amalan itu bertentangan dengan undang-undang yang melarang pemaparan simbol agama di kawasan awam. Agensi