Tuesday, September 20, 2011

Dibunuh Kekasih Pengkid Kerana Cemburu

[BHARIAN]SUNGAI PETANI: Seorang gadis berusia 29 tahun ditemui mati di sebuah rumah di Taman Semarak, dekat sini, petang semalam dipercayai ditikam kekasihnya yang juga pengkid berusia 25 tahun yang kemudian bertindak mencederakan dirinya.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mayat mangsa yang berasal dari Yan Besar ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumah sewa mereka.

Kekasih mangsa, pengkid keturunan Siam mencederakan dirinya dengan senjata ditemui di depan rumah jiran dalam keadaan separuh sedar.
Pengkid terbabit menikam kekasihnya yang juga pekerja kilang di Bakar Arang, akibat cemburu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad, berkata mangsa dipercayai tinggal bersama di rumah itu sejak 2007 dan polis tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Katanya, mangsa ditemui berlumuran darah di ruang tamu oleh orang ramai sebelum menghubungi polis, manakala pengkid terbabit ditemui di rumah jiran dipercayai untuk meminta bantuan.

“Siasatan polis mendapati ada dua kesan tikaman menggunakan pisau di perut mangsa dan senjata yang dipercayai digunakan turut ditemui di ruang tamu rumah terbabit. Polis masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar,” katanya di sini, semalam. 
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 





Monday, September 19, 2011

Gempar! Kapal Korea Utara Ditahan Pasang Jalur Gemilang Terbalik


[KOSMO] JOHOR BAHRU - Sebuah kapal dagang asing yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik ditahan sebelum didapati melakukan kesalahan lain iaitu melepaskan sauh tanpa kebenaran ditahan di perairan Tanjung Piai, Pontian dekat sini kelmarin.
Kedudukan Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di atas kapal MV Yong An dari Korea Utara itu menarik perhatian pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan untuk menyiasat.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, curiga dengan apa yang berlaku, anggota APMM yang membuat rondaan rutin di perairan berkenaan terus menaiki kapal tersebut kira-kira pukul 1 petang kelmarin.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut gagal memaklumkan ketibaan mereka dalam perairan Malaysia dan dengan sengaja menaikkan bendera Malaysia secara terbalik.

Budak Mati Dihempap Tiang Gol,Tempurung Retak


[HMETRO] KLANG: “Arwah sebelum ini minta dibelikan kasut bola baru, saya terkilan tak sempat memenuhi hasratnya,” kata Abdul Rahman Sarbaini, 41.
Anaknya, Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, maut selepas cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala.

Abdul Rahman berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jiran memberitahu anaknya kemalangan ketika bermain bola sepak di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di Kuarters Guru Kampung Jawa.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar dari kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.

“Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk mendapatkan rawatan namun dia gagal diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, kecuali meminta sepasang kasut bola baru daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya bersabar.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata, beliau masih belum menerima laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara.

“Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian, namun jika sudah menerima laporan, siasatan akan segera dilakukan,” katanya.

Teman Lelaki Bangla Ugut Sebar Gambar Lucahnya Jika Putuskan Hubungan



[HMETRO] JOHOR BAHRU: Terjerat dengan cinta ‘Bollywood’ seorang gadis berusia 23 tahun tertekan selepas teman lelaki warga Bangladesh mengugut menyebarkan gambar lucahnya sejurus mangsa menyatakan hasrat memutuskan hubungan cinta terjalin beberapa bulan lalu.

Mangsa mendakwa bekas teman lelakinya yang berusia 40-an dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga anak berang mengugut menyebarkan gambar lucahnya di Internet.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai juruwang di sebuah syarikat kiriman wang ke luar negara turut menuntut mangsa memulangkan RM25,000 dibelanjakan ketika mereka bercinta sebagai syarat memutuskan hubungan.

Mangsa mendakwa diugut awal bulan lalu selepas menghubungi suspek dan menyatakan hasratnya memutuskan hubungan. Bagaimanapun, suspek yang berang menghubunginya dan mengugut menyebarkan gambar lucah wanita berkenaan.

Pada mulanya, mangsa menyangka ia hanya gurauan, namun terkejut melihat beberapa gambar lucahnya dikirim lelaki Bangladesh itu menggunakan e-mel, selain menerusi Kiriman Pesanan Multimedia (MMS).

Gambar lucah itu dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit suspek ketika menginap di sebuah hotel di Seremban beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan gadis berkenaan Rabu lalu.

Sunday, September 18, 2011

Perancis larang umat Islam solat atas jalan



[BHARIAN] PARIS: Perancis melarang umat Islam daripada mengerjakan solat di kawasan jalan berkuat kuasa kelmarin ketika dua tempat ibadat baru dibuka bagi menampung masalah kesesakan jemaah di Paris dan Marseille. 

Menteri Dalam Negeri, Claude Gueant berkata, pihak berkuasa tidak lagi membenarkan jemaah bersolat di tepi jalan bermula kelmarin September.

Jika masih ada lagi terus bersolat, kami akan menghentikannya, katanya.
Larangan itu berkuatkuasa serentak dengan pembukaan sebuah tempat masjid baru bagi umat Islam di utara Paris, di mana beratus-ratus orang dilaporkan terpaksa bersolat di jalan pada setiap Jumaat berikutan ruang yang terhad di dua masjid kecil berkenaan. 

Pemimpin kedua-dua masjid di daerah Goutte dOr itu bersetuju dengan pihak berkuasa Paris untuk menyewa dua berek yang terbiar selama tiga tahun. 

Masjid berkenaan akan tetap ditutup selama dua minggu bagi menggalakkan jemaah berpindah ke tempat baru, yang mampu untuk menampung lebih 2,700 orang, kata pihak berkuasa bandaraya terbabit. 

Pihak berkuasa di bandaraya kedua terbesar, Marseille di mana masjid turut mengalami masalah kebanjiran jemaah berkata bahawa mereka juga sudah menemui sebuah tempat yang lebih besar di mana jemaah boleh bersolat tanpa perlu bersesak hingga di kawasan jalan. 
Masalah bersolat di kawasan jalanan menjadi agenda tahun lalu oleh sayap kanan National Front di mana ia disifatkan sebagai fenomena sejak berdekad lamanya yang membuktikan mengenai dakwaan mereka bahawa Islam mengancam nilai-nilai sekular Perancis. 

Pemimpin National Front, Marine le Pen secara kontroversi pernah membandingkan masalah bersolat di jalanan dengan pendudukan Nazi Jerman di Paris manakala kumpulan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di jalanan membantah masalah itu di Goutte dOr. 

Kerajaan bersetuju bahawa amalan itu bertentangan dengan undang-undang yang melarang pemaparan simbol agama di kawasan awam. Agensi

Cucu terapung dalam telaga

Sekadar gambar hiasan
[BHARIAN] KUALA TERENGGANU: Saya tergamam melihat cucu terapung di dalam telaga di belakang rumah. Suami kemudian segera terjun ke dalam telaga sambil berpaut pada batang paip untuk menyelamatkan cucu. Dia masih bernyawa ketika itu, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke klinik. 

Rintihan itu disuarakan Zainon Ismail, 67, nenek kanak-kanak berusia 34 bulan yang maut selepas terjatuh ke dalam telaga di Kampung Binjai Manis, Manir, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Mohd Adam Iskandar Mohd Jais, terjatuh ke dalam telaga sedalam enam meter terletak kira-kira 100 meter dari rumah itu.
Kejadian itu bagaimanapun hanya disedari Zainon dan anaknya yang juga ibu mangsa, Zainabon Mamat, 42, sebaik pulang menoreh getah apabila sepupu mangsa, Muhammad Syafiq Syakir Azlan, 18 bulan, menangis teresak-esak sambil menunjukkan kakinya yang berdarah digigit pacat. Zainon bertanyakan Mohd Adam, tetapi Muhammad Syafiq hanya menangis. 

Saya mengesyakinya mungkin bermain di belakang rumah. Kami bergegas mencari mangsa dan risau apabila panggilan kami tidak disahut. Zainabon kemudian menyelak rimbunan dedaun di telaga berusia 40 tahun itu dan terkejut melihat anaknya terapung. 

Saya tidak sangka telaga yang selama ini menjadi sumber air kami sekeluarga akhirnya meragut nyawa cucu sulung kesayangan, katanya sayu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai Manis, di sini, semalam. 

Zainon berkata, Mohd Adam Iskandar adalah anak sulung Zainabon dan suaminya, Mohd Jais Muda, 40, selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga. 
Katanya, cucunya itu menunjukkan perangai pelik apabila enggan makan nasi, selain sering mendesak bapanya sejak beberapa hari lalu untuk membelikannya seluar jeans baru. 

Bapanya berjanji membelikannya seluar jeans baru selepas balik menoreh hari ini (semalam), tetapi tidak sangka dia pergi dulu. Kami pasti akan merindui arwah kerana dia petah bercakap, katanya menambah Mohd Adam Iskandar dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Pujuk di kampung itu, semalam. 

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam berkata, pihaknya akan membantu menyediakan bekalan air keluarga itu serta menutup telaga itu bagi mengelak kejadian sama berulang. 

Tragedi bom Golok: Lihat perut anak terburai dan leher ayah berlubang



Musnah.. akibat letupan bom di Golok,Thailand
[HMETRO] SUNGAI GOLOK (Thailand): “Dalam keadaan terkejut dan panik, saya dan isteri meredah asap tebal selepas bom meletup. Kami lihat perut anak terburai, manakala ayah cedera parah di kepala dan lehernya berlubang,” kata Wong Wai Siong, 33.
Wai Siong kehilangan anak, Wong Kai Sien, 3, dan bapa, Wong Hong Yep, 64, serentak selepas terbunuh dalam kejadian tiga siri letupan bom yang menggegarkan pekan Sungai Golok, di sini, jam 8.15 malam kelmarin.

Selain dua beranak itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang terbunuh ialah pengurus insurans dari Kuantan, Pahang, Foong Too Keh, 45.

Wai Siong berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri, Ang Ya, 35, dua anak dan ayahnya berkunjung ke Sungai Golok dari Kota Bharu dan tiba jam 6.30 petang untuk membawa isteri menjalani rawatan di Hospital Sungai Golok kerana sakit perut dan membeli susu anak.

Katanya, selepas selesai rawatan dan membeli susu anak, mereka lima beranak makan di sebuah kedai makan sebelum tiba-tiba terdengar letupan bom, lalu segera keluar untuk pulang dan pada masa sama melihat apa berlaku.

“Mendengar letupan bom, kami segera keluar dari restoran untuk pulang. Dalam perjalanan ke kereta yang jaraknya 40 meter dari restoran, sebutir lagi bom di sebuah motosikal meletup.


“Ketika itu anak saya dan datuknya keluar terlebih dulu dari restoran manakala saya, isteri dan seorang lagi anak berada tidak jauh daripada mereka. Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata, saya kehilangan anak dan ayah,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Sungai Golok, di sini, semalam.

Menurut Wai Siong, anaknya ditemui dalam keadaan terhempap motosikal manakala ayahnya terbaring kaku.

Wai turut cedera di pergelangan kaki kanan, isterinya luka di tangan, manakala anak bongsunya, Wong Kai Royce, 1, tidak cedera.

Sementara itu, abang Too Keh, Foong Too Meng, 55, berkata adiknya berkunjung ke pekan Sungai Golok untuk berjalan-jalan dan tiba di pekan itu jam 5 petang.

“Adik saya mendaftar untuk menginap di Hotel Genting sebelum keluar ke Hotel Merlin untuk minum bersama rakan.

‘Ketika dalam perjalanan ke Hotel Merlin, bom diletakkan di motosikal berdekatan sebuah tokong meletup. Serpihan bom terkena tulang rusuk adik, menyebabkan dia parah dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Menurut Too Meng, dia menerima panggilan daripada rakan adiknya yang terselamat daripada kejadian itu jam 7.45 petang.

Nyaris maut apabila bas ekspres dua tingkat terbabit dalam kemalangan di Rembau



Sekadar gambar hiasan
[HMETRO] SEREMBAN: “Sejurus terdengar bunyi dentuman kuat, kerongkong saya terus terhantuk pada kerusi depan manakala dua rakan wanita di tempat duduk berasingan dilihat terpelanting ke depan,” kata Tin Tun Aung, 40, seorang daripada penumpang yang nyaris maut apabila bas ekspres dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 224.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan berdekatan Rembau, dekat sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 7 pagi, bas dua tingkat membawa 10 penumpang berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke Melaka.

Setiba di lokasi kejadian, bas itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan dan terbabas hingga menyebabkan beberapa penumpang cedera.

Menurut Tin yang juga warga Myanmar, dia dan dua kenalan wanita senegaranya, Aye Aye Thin, 38, dan Khin Khin Sein, 35, baru selesai menemui adik seorang daripada mereka yang baru tiba dari Myanmar di Juru, Kedah.

“Kami bertiga seterusnya mahu pergi ke Melaka untuk menemui kenalan lain dengan menaiki bas terbabit, jam 12 tengah malam tadi (semalam).

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, saya yang belum sempat melelapkan mata di tingkat bawah bas itu terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat dua rakan lain terpelanting dari tempat duduk,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.


Beliau mendakwa ketika itu tidak sempat memegang apa-apa berikutan hentaman kuat sehingga menyebabkan kerongkongnya cedera akibat terhantuk pada kerusi depan.

Tony kecapi kemenangan pertama liga, QPR tewaskan Wolve 3-0


Barton raikan jaringan pertama untuk QPR sejak berpindah
QPR menunjukkan aksi garang apabila menumpaskan Wolverhampton 3-0. Jaringan dihasilkan ketua pasukan, Joey barton yang baru sahaja menandatangani kontrak perpindahan dari Newcastle. Jaringan dihasilkan pada minit kelapan.

Gol kedua dijaringkan A. Faurlin pada minit ke-10. Gandaan gol diteruskan dengan jaringan DJ. Campbell pada minit akhir perlawanan hasil lintangan Arman Traore.

Kemenangan pertama ini pasti menggembirakan Tony Fernandes setelah hanya berjaya seri dan kalah pada perlawanan sebelum ini selepas beliau memegang QPR.

Saturday, September 17, 2011

Warga Malaysia terbunuh dalam kejadian letupan bom di Selatan Thai

KOTA BAHARU 17 Sept. - Seorang kanak-kanak antara tiga rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian tiga letupan bom di Sungai Golok, Selatan Thailand malam semalam.

Mereka ialah Wong Heng Yep, 65, dan cucunya Wong Kai Sen, 3, serta Fong Too Keh, 45.

Heng Yep dan cucunya berasal dari Jalan Hamzah di sini manakala Too Keh berasal dari Kuantan, Pahang.

Heng Yep dan cucu itu difahamkan berada di Sungai Golok bersama keluarganya sejak petang semalam manakala Too Keh datang bersama abang dan rakannya.

Menurut laporan pihak berkuasa Thailand, seorang lagi yang terbunuh dilaporkan sebagai seorang sukarelawan rakyatnegara itu yang berusia 38 tahun.

Letupan berkenaan turut mencederakan kira-kira 60 orang lain termasuk 19 rakyat Malaysia manakala dua rakyat negara ini dilaporkan dalam keadaan parah dan dirawat di Hospital Yala. [SUMBER]




Mangsa terdambar diluar lokasi pengeboman

Tentera Thai berkawal diluar lokasi



Dua beranak nekad bergelut dengan perompak


Sekadar gambar hiasan
[HMETRO] KUALA TERENGGANU: “Walaupun penjenayah itu mengugut mahu membunuh saya, ia tidak melemahkan semangat saya untuk mempertahankan diri daripada menjadi mangsanya apatah lagi mengenangkan anak yang pernah diragut,” kata Rohani Sulong, 48, mangsa rompakan di kedai runcit di Kampung Kuala Bekah, Chabang Tiga, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Rohani yang cedera di kedua-dua tangan dipercayai terkena pisau selain lebam di kepala dan belakang badan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), manakala anaknya, Nor Fatiha Mohd Bidin, 22, menerima jahitan di jari tangan kiri akibat terkena pisau.

Ketika menceritakan detik cemas itu, ibu enam anak itu berkata, dia didatangi suspek berumur 32 tahun yang kononnya mahu membeli penyedut minuman sebelum dia memaklumkan tidak menjual barang berkenaan. Katanya, suspek kemudian memaklumkan ingin membeli gula-gula 20 sen. 


Ketika itu, Rohani memaklumkan dia mula berasa tidak sedap hati dan sangkaannya tepat apabila suspek meragut rantai di leher ketika dia ingin memulangkan baki wang kepada penjenayah itu. “Ketika itu, sebelah tangannya mengambil duit, manakala sebelah lagi cuba meragut rantai saya. Saya nekad melawannya dengan cuba memegang rantai sebelum berlaku pergelutan. “Dalam pergelutan itu, penjenayah terbabit meminta rakannya yang berada di luar untuk membantu sebelum penjenayah itu ditahan anak saudara dengan bantuan orang kampung,” katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam. 


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang penjenayah yang cuba merompak sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Bekah, Chabang Tiga, di sini, bernasib malang apabila menerima rawatan di HSNZ selepas cedera ketika bergelut dalam usaha melarikan diri sebaik perbuatannya disedari, petang kelmarin.

Serangan bom Golok , 60 cedera 2 maut termasuk seorang rakyat Malaysia





[BHARIAN] SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand): Rakyat Malaysia antara yang dipercayai maut dalam serangan bom yang dilakukan serentak di tiga lokasi berasingan dalam kejadian bom di Sungai Golok malam tadi.
Laporan awal pihak berkuasa menyebut kira-kira 60 orang cedera dalam kejadian pada jam 7.15 petang waktu Thailand (8.15 malam waktu Malaysia), tetapi tidak diketahui sama ada cedera parah atau sebaliknya, manakala dua orang terbunuh termasuk seorang rakyat Malaysia yang belum dikenal pasti identitinya.
Setakat jam 10 malam tadi, belum diketahui berapa ramai rakyat Malaysia yang cedera. 

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Chakapon Phanon, ketika mengulas kejadian berkata, tiga lokasi serangan membabitkan dua hotel iaitu Hotel Parkson dan Hotel Merlin serta sebuah tokong. 

Katanya, semua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok. 
“Jarak antara kedua-dua hotel yang menjadi lokasi serangan berada tidak jauh iaitu 50 meter. Polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa yang mati atau cedera setakat ini. 
“Polis percaya kejadian ini dilakukan puak pemisah. Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dilakukan untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu,” katanya. 

Pekan Golok menjadi destinasi popular di kalangan rakyat Malaysia terutama di Kelantan untuk membeli-belah terutama pada hujung minggu atau cuti umum.

Warga tua maut, kereta bertembung kenderaan seludup diesel

LOKASI nahas yang meragut satu nyawa di Padang Besar dilimpahi diesel. Gambar kecil, Manis Ismail.


[BHARIAN] PADANG BESAR: Seorang warga tua berusia 60 tahun maut manakala dua mangsa termasuk adik perempuannya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan dipercayai milik penyeludup diesel di Beseri, dekat sini, petang kelmarin. 
Manis Ismail dari Temerloh, Pahang meninggal di tempat kejadian. Dua lagi mangsa ialah adik Manis, Hasnah yang memandu kereta dan penumpang, Mek Saad, 65, masing-masing dari Kuala Perlis, di sini mengalami kecederaan.
Dalam kejadian itu, dua remaja berusia 16 dan 19 tahun dipercayai dalam kereta Proton Iswara yang bertembung dengan kereta mangsa melarikan diri tanpa mempedulikan mereka.
Kemalangan jam 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta Perodua Kelisa dalam perjalanan pulang selepas menziarahi kenalan yang meninggal dunia di Jalan Kaki Bukit, di sini.

Nahas itu boleh menjadi lebih buruk kerana tempat kejadian dilimpahi diesel.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, mengesahkan kejadian terbabit termasuk penahanan dua remaja tidak bersekolah yang terbabit dalam nahas itu.

Genting Malaysia Bhd bina Resorts World Miami bernilai AS$3 bilion







[BHARIAN] GENTING Malaysia Bhd antara syarikat riadah dan hospitaliti terkemuka di dunia mengumumkan pelan induk bernilai AS$3 bilion untuk Resorts World Miami. 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, resort yang berkeluasan 10 juta kaki persegi itu membabitkan pembangunan bercampur, sekali gus menjadikannya antara projek terbesar di Florida.

“Resorts World Miami mempercepatkan evolusi Florida sebagai destinasi global. Matlamat kami ialah mewujudkan resort itu sebagai resort destinasi paling berjaya di Amerika,” kata Pengerusi dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay.
Dibangunkan di kawasan seluas 13.9 ekar yang kini menempatkan Miami Herald Media Company, Resorts World Miami terletak di tengah bandar raya Miami iaitu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dan Pantai Miami. Ia termasuklah rangkaian siri empat hotel dengan 5,200 bilik.

“Ke utara dan berdekatan dengan tapak Miami Herald ialah hartanah Omni Centre dengan Genting membeli semua gadai janji tertunggak,” katanya.

"Genting Malaysia akan bekerjasama dengan pemilik hartanah untuk menguasai sepenuhnya dan mengendalikan Omni Centre dalam tempoh beberapa bulan ini," kata Lim.

Omni Centre termasuk ruang beli-belah berkeluasan 650,000 kaki persegi, ruang pejabat berkeluasan 350,000 kaki persegi, Hotel Hilton dengan 525 bilik dan 2,300 ruang garaj letak kereta.
Genting Malaysia ialah syarikat dalam Genting Group yang mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM20 bilion.

Mahu buang sampah, amah larikan RM 10,000


[HMETRO] KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 33 tahun kerugian kira-kira RM10,000 apabila barang kemas milik isterinya dilarikan pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di Taman Danau Kota, di sini, kelmarin.
Mangsa menyedari kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang apabila pemeriksaan di biliknya mendapati barang kemas di dalam almari lesap.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, mangsa melihat pembantu rumahnya berusia awal 20-an membawa beg plastik hitam dan meninggalkan rumah berkenaan kira-kira jam 4 petang.

“Pada mulanya mangsa menyangkakan pembantu rumahnya mahu membuang sampah, namun mula syak apabila dia tidak pulang selepas sejam kemudian,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

87 pelajar IPT diserbu sertai pesta liar,seks dan dadah






[HMETRO] ALOR GAJAH: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dari Selangor serta negeri ini antara 87 ditahan ketika menyertai parti liar membabitkan pengambilan dadah di sebuah banglo dua tingkat di sebuah resort di sini, yang disewa kononnya bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, malam kelmarin.
Difahamkan ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Mohd Hisham A Rahman menyerbu banglo terbabit kira-kira jam 2.30 pagi, ramai peserta pesta itu berhibur dalam keadaan khayal.

Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis menahan 87 orang termasuk 17 perempuan dan sebahagian daripada mereka pelajar IPT awam dan swasta berusia 18 hingga 35 tahun.

Katanya, ketika serbuan, ada antara mereka berada di kawasan kolam renang dan ruang tamu, manakala sebahagian lagi dalam tiga bilik di tingkat atas dan lebih mengejutkan ada peserta tidur berpelukan tanpa menyedari kehadiran polis.

Penyertaan untuk pesta ‘private party’ itu dikatakan percuma, tetapi jemputan melalui laman sosial, facebook dan SMS daripada kenalan masing-masing. Malah, ada antara peserta tidak mengenali antara satu sama lain.

Harian Metro difahamkan, banglo itu turut dilengkapi sistem audio yang dikendalikan seorang DJ yang dipercayai kenalan kepada penganjur pesta berusia 30-an bagi menghiburkan pengunjung mulai jam 10 malam.


Menurut sumber itu, beberapa peserta yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal kerana banglo terbabit dikepung.

“Polis merampas dadah jenis syabu dan ganja dipercayai digunakan peserta,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke balai polis berdekatan untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya 15 suspek didapati positif dadah.

Seramai 19 suspek termasuk tujuh wanita ditahan kerana memiliki dadah manakala selebihnya dibebaskan tanpa syarat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Difahamkan, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita yang sudah bertunang didapati memiliki dadah, manakala tunangnya dibebaskan tanpa syarat.

Kebanyakan pelajar yang menyertai parti berkenaan berasal dari Johor, Kuala Lumpur, Perlis serta Terengganu dan mereka terdiri daripada pelajar IPT, mekanik, penganggur dan jurujual.

Difahamkan, ketika siasatan awal, peserta parti itu cuba menyembunyikan identiti penganjur yang didakwa berada di Ipoh, Perak.

Malah, serbuan dianggotai empat pegawai dan 14 anggota JSJN IPK negeri itu dilakukan selepas mendapat maklumat risikan sejak awal Jun lalu dan penganjur didapati menggunakan facebook untuk menjemput peserta.

Tinjauan Harian Metro di banglo terbabit mendapati ia dipenuhi botol minuman keras selain penemuan kondom di luar pekarangan banglo itu.

Awas! Sindiket penipuan peminta derma anak yatim

Tutup muka kerana malu apabila aktiviti penipuannya dikesan




[BHARIAN] YAN: Kegiatan meminta derma di kalangan warga Pakistan dengan menggunakan sijil kebenaran palsu yang kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kedah, kini bergerak aktif di beberapa daerah di negeri ini sejak sebulan lalu.
Difahamkan, dengan sijil palsu berkenaan, peminta derma terbabit mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari hasil kutipan daripada penduduk setempat, kononnya untuk membantu anak yatim di negara asalnya.


Bagi meraih simpati orang ramai, warga Pakistan itu menunjukkan beberapa keping gambar yang didakwa anak yatim dari negaranya yang memerlukan bantuan segera.

Tinjauan Berita Harian baru-baru ini di daerah ini turut menemui seorang warga Pakistan berusia 30-an sedang menjalankan kegiatan mengutip derma dengan mengunjungi rumah penduduk setempat.

Lelaki yang mendakwa tidak berapa fasih berbahasa Inggeris itu turut menunjukkan sekeping gambar bangunan lama yang didakwanya asrama anak yatim yang perlu dibaik pulih, selain menunjukkan sekeping salinan surat dari JAIK kononnya memberi kebenaran mengutip derma di negeri ini sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, dia melarikan diri ketakutan selepas menyedari kegiatannya terbongkar, selain menutup muka bagi mengelak gambarnya diambil. 
Seorang pesara tentera, Mohamed Hassan, 51, mendakwa sejak kebelakangan ini ramai warga asing terutama warga Pakistan datang meminta derma di sekitar daerah ini, kononnya membantu anak yatim.

“Saya percaya ini adalah jalan untuk mereka mendapatkan wang secara mudah, yang mana dalam sehari mereka boleh mendapat antara RM300 ke RM400 dengan penipuan itu,” katanya.

Mohamed berkata, dia berasa ragu-ragu apabila didatangi peminta derma lelaki warga Pakistan, namun terpaksa menghulurkan derma bagi mengelak daripada terus diganggu.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai rakyat tempatan ditipu,” katanya.

Seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohidin, 44, mendakwa peminta derma rakyat asing itu juga sering mengganggu urusan orang ramai.

“Kita tengah sibuk bekerja, dia datang berceloteh panjang sambil meminta derma untuk anak yatim di negaranya. Bagi saya lebih baik saya memberi sumbangan anak yatim di negara ini daripada anak yatim yang tidak pasti kewujudannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIK, Datuk Khairudin Zin, ketika dihubungi mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak terpedaya dengan peminta derma warga asing berkenaan.

Katanya, JAIK tidak lagi membenarkan warga asing mengutip sebarang derma di negeri ini, kecuali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang dibenarkan oleh antara dua kerajaan.

“Saya percaya surat salinan JAIK yang dibawa peminta derma warga asing itu adalah palsu kerana kami sudah tiga tahun tidak mengeluarkan surat seumpama itu kepada warga asing,” katanya. 

Sindiket curi tumpas, temui kerbau dalam Myvi





CHUKAI: Sekumpulan empat lelaki yang mencuri kerbau bertindak kejam apabila memenggal kepala haiwan dan bahagian badan lain sebelum menjual dagingnya di sekitar Kemaman.
Kumpulan membabitkan lelaki berusia 20-an terbabit yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak awal Ramadan lalu turut bertindak agresif apabila melakukan kekejaman terhadap haiwan berkenaan sebaik ia ditangkap sebelum memasukkan bahagian badan yang dipotong ke dalam kereta.

Namun, kekejaman kumpulan lelaki yang dipercayai sudah mengaut keuntungan besar hasil daripada kegiatan itu berakhir apabila mereka ditahan selepas gagal melarikan diri ketika kenderaan dinaiki dikejar anggota polis, awal pagi semalam.

Kereta Perodua Myvi dinaiki kumpulan terbabit terserempak kenderaan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Padang Kubu, kira-kira jam 1.30 pagi.

Berikutan curiga dengan kenderaan terbabit yang dipercayai sarat dengan muatan, anggota polis mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun ia tidak diendahkan sebelum melarikan diri ke Chukai kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian.

Menyedari kenderaan dinaiki diekori polis, kumpulan terbabit melarikan diri melepasi sempadan Kemaman sebelum memasuki Chendor, Pahang.


Bagaimanapun, usaha menahan kumpulan terbabit gagal menyebabkan anggota polis berkenaan mengekori kenderaan itu sebelum kenderaan terbabit yang kehilangan arah tersadai sebaik tiba di kawasan berpaya berhampiran Sungai Baging, Kuantan, kira-kira 20 kilometer dari Chendor.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata sebaik tersadai, empat lelaki terbabit cuba melarikan diri sebelum dua daripada mereka ditahan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan itu, kami mendapati beberapa bahagian badan kerbau yang belum dilapah dianggarkan seberat lebih 100 kilogram disembunyikan di tempat duduk belakang dan soal siasat mendapati bahagian badan haiwan berkenaan haiwan yang dicuri di kawasan ladang Ketengah Jaya, di sini,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki dari Kampung Limbong, Chukai itu disiasat mengikut Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan kerana gagal memberi keterangan mengenai barangan dibawa dan dituduh di Mahkamah Majistret Kemaman, di sini, pagi semalam.

Friday, September 16, 2011

Zaid minta maaf, Nik Aziz sokong permansuhan ISA







[BHARIAN] KOTA BHARU: Bekas menteri Kabinet, Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana suatu ketika dahulu beliau tidak pernah yakin dengan keupayaan Najib untuk melakukan sesuatu termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Zaid berkata ternyata pandangan beliau terhadap Najib adalah meleset sama sekali apabila Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan akta berkenaan semalam.

"Saya dahulu tidak yakin Najib mempunyai keberanian untuk membuat sesuatu yang besar dan hari ini saya minta maaf pada Perdana Menteri kerana akhirnya sanggup berbuat sesuatu yang bermakna dan besar untuk memansuhkan ISA ini.
"Saya sifatkan ini sebagai satu hadiah kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini. 

Semalam Najib mengumumkan pemansuhan ISA dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik. 

Selain itu, antara yang turut dimansuhkan ialah Akta Buang Negeri 1956, selain mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967. 

Zaid yang kini Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) berkata apa yang dilakukan Najib itu telah memberi nafas baru kepada istilah demokrasi untuk terus subur di negara ini. 
Beliau yakin Najib tidak mempunyai agenda politik dalam mengumumkan pemansuhan berkenaan dan meminta semua rakyat dan pembangkang agar menyokong setiap pembaharuan yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri demi rakyat. 

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyokong pemansuhan ISA yang bagi beliau sepatutnya dilakukan sejak dahulu lagi. 

"Ia memang selari dengan kehendak kita (pembangkang) kerana ISA ini tidak selari dengan kehendak Islam dan melanggar hak asasi manusia. 

"Kita ada hakim dan lawyer (peguam). Tak perlu ada ISA yang bertindak tidak betul ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia peringkat negeri di Padang Majlis Daerah Machang di sini. - BERNAMA

Nahas motosikal, maut diseret

Sekadar gambar hiasan






[BHARIAN] GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Kilometer 6.9 Jambatan Pulau Pinang menghala Butterworth pagi ini. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, berkata kejadian pada kira-kira jam 6 pagi itu menyebabkan S Sathees, 22, dari Taman Bukit Jambul, di sini, mati ditempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Akibat kejadian dia dan motosikalnya terseret kira-kira 31 meter sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat Sathees dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Difahamkan, lelaki itu baru pulang meraikan sambutan hari lahirnya hari ini bersama rakannya di George Town sebelum terlibat dalam kemalangan itu. - BERNAMA

Amukan bekas pekerja dengan rantai besi dan parang





[HMETRO] AMPANG: Seorang majikan cedera di bahagian badan selepas dipukul dengan rantai besi oleh bekas pekerjanya yang menuntut wang gaji dalam kejadian di Pandan Mewah, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang berusia 36 tahun kerugian RM5,000 apabila bekas pekerjanya memecah cermin kereta Honda CRV menggunakan rantai pengunci motosikal.

Mangsa, Wong, 36, berkata, lelaki berusia 25 tahun itu juga cuba mencederakannya menggunakan parang, namun sempat mengelak dan melarikan diri.

Katanya, dia terkejut lelaki terbabit tiba-tiba menyerangnya dengan rantai besi tanpa berbincang.

“Saya terkejut dengan kedatangannya, tetapi cuba menenangkan dirinya dan mahu berbincang, namun tiba-tiba dia mengamuk mengambil rantai besi lalu melibas ke cermin kereta sebelum memukul badan saya.

“Nasib baik saya sempat melarikan diri, kalau tidak mungkin cedera teruk di bahagian badan,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, lelaki itu mengamuk kerana mahu menuntut wang gajinya, padahal dia melarikan diri dengan berhenti kerja secara tiba-tiba tanpa memberi notis.

“Saya cuba menghubunginya untuk bertanya hal itu, namun dia menutup telefon dan muncul di rumah saya sambil marah-marah kepada isteri sebelum memukul saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Najib mansuhkan ISA


SEJARAH...Pusat Tahanan Kamunting yang sering dikaitkan dengan ISA.



[HMETRO] KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji beliau ketika mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 2009 untuk mengkaji secara terperinci Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) apabila mengumumkan akta itu yang membenarkan seseorang ditahan selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan, dimansuhkan terus.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri dalam amanat julung kali disampaikannya sempena ulang tahun Hari Kebangsaan ke-54 dan Hari Malaysia di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini, malam tadi.

Sebagai ganti, kata beliau, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara keamanan, kesejahteraan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

“Di atas segalanya, kerajaan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara, apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan yang masih dikekalkan bawah kuasa menteri,” katanya.

Dalam ucapan yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan TVi itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan mana-mana individu tidak akan ditahan hanya kerana ideologi politik, malah kuasa melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan.


Beliau berkata, selain pemansuhan ISA, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa, malah tidak teragak-agak meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

“Kajian semula komprehensif ini akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

“Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

“Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa,” katanya.

Najib turut berjanji kerajaan mengikut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul ketiga-tiga proklamasi darurat yang pernah diisytihar dulu ditamatkan kuat kuasanya.

“Sebagai yang ramai maklum, kecuali darurat akibat konfrontasi 1964 yang dibatalkan secara tersirat, semua proklamasi darurat lain yang diisytiharkan sebelum ini masih dianggap berkuat kuasa sehingga hari ini.

“Justeru, menginsafi bahawa realiti Malaysia sudah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan negara menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian.

“Agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka kerajaan kini, mengikut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang diisytihar dulu, supaya ditamatkan.

“Pada hemah saya sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan dan pilihan yang putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk negara pada masa hadapan yang akan diwariskan kepada generasi mendatang.

“Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latar belakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bukan satu kelemahan untuk meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri.

“Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka apakah maknanya pencapaian kita hari ini? Apakah gunanya kita merancang pembangunan negara dengan begitu tersusun sejak merdeka?

“Apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

“Jawapannya sangat jelas yakni langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan sudah rangka dan laksanakan sejak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif,” katanya.

Thursday, September 15, 2011

Suasana gempar apabila dimasuki lelaki berlumuran darah akibat ditetak parang





[HMETRO] CHUKAI: Suasana di sebuah kedai makan di Bukit Kuang, di sini, gempar seketika apabila seorang lelaki masuk semula ke dalam kedai berkenaan dengan keadaan berlumuran darah selepas belakangnya ditetak menggunakan senjata tajam dipercayai parang, semalam.
Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa seorang ahli perniagaan berusia 40-an menikmati hidangan tengah hari di kedai berkenaan sebelum keluar untuk menemui seseorang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata mangsa yang makan di kedai berkenaan dipercayai dihampiri seorang suspek bertanyakan namanya.

Katanya, sebaik saja mengaku dirinya orang dicari, mangsa dimaklumkan ada individu mahu menemuinya di belakang kedai itu sebelum mangsa bergegas keluar.

“Mangsa keluar mengikut suspek ke bahagian belakang kedai berkenaan sejauh lima meter sebelum dia berlari masuk semula ke dalam kedai itu dengan berlumuran darah.

“Difahamkan, mangsa parah di bahagian belakang dengan luka sepanjang 15 sentimeter. Malah, suspek yang dipercayai menetak mangsa turut memegang sebilah parang yang berlumuran darah sebelum menaiki Proton Waja dan meninggalkan tempat kejadian,” katanya.


Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik saja bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerima panggilan daripada orang awam sebelum menghubungi pemilik kedai makan terbabit bagi mendapatkan gambaran awal mengenai kejadian berkenaan.

Menurut Abdullah Sani, mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Kemaman untuk rawatan lanjut.

Katanya, keterangan mangsa yang memiliki kedai kenderaan berat dan berasal dari Bukit Kuang, di sini, belum diperoleh memandangkan mangsa masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan itu.

“Ketika ini, kami masih tidak dapat menentukan motif serangan berkenaan berikutan keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri,” katanya.